Ucapan oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council pada 17 April 2019.

Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan Pulau Pinang 2030, sebuah pelan tindakan yang menumpukan pada pembangunan daya huni, menaikkan taraf ekonomi, meningkatkan penyertaan rakyat dan pembangunan yang seimbang bagi mencapai negeri berorientasikan “Kekeluargaan, Bandar Hijau dan Pintar”. Ini adalah visi saya bagi meningkatkan momentum Pulau Pinang untuk sentiasa berada di barisan hadapan sebagai negeri yang menjadi inspirasi kepada negara seiring dengan perubahan yang besar di negara kita.

Dalam usaha menaik taraf Pulau Pinang sebagai bandar pintar, empat dasar utama yang akan diketengahkan dalam visi Pulau Pinang 2030 adalah dari segi data, infrastruktur, pengurusan dan kebolehan rakyat. Penerima manfaat dari Pulau Pinang 2030 ini sudah tentulah rakyat Pulau Pinang yang akan menjadi penduduk bandar pintar. Oleh itu, adalah penting bagi rakyat untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk menjadi penggerak utama transformasi Pulau Pinang kearah bandar pintar.

Pulau Pinang mempunyai beberapa kemudahan pintar dan dijangka akan bertambah di masa akan datang. Sebagai contoh, sistem pengecaman wajah pada kamera litar tertutup telah diaplikasikan di negeri ini secara berperingkat bermula Disember 2017 dan ia telah dirasmikan pada 2 Januari 2019 oleh Kerajaan Negeri dan PDRM. Sistem yang dilengkapi oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) ini merupakan sistem yang pertama di Malaysia yang direka bukan sahaja untuk mengawal kadar jenayah dan mengesan kesalahan jalan raya namun ia juga boleh mengesan paras air ketika hujan sebagai langkah pencegahan banjir.

Usaha untuk mentransformasikan Pulau Pinang kepada bandar hijau dan pintar juga merangkumi projek penarafan lorong-lorong belakang dan menjadikan kawasan bersejarah di bandar raya George Town lebih mesra pengguna terutamanya kepada pejalan kaki. Usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri kearah mewujudkan negeri rendah karbon dan persekitaran yang hijau kepada semua. Dengan bantuan MBPP dan sektor swasta melalui projek inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), kita telah berjaya mengubah suai empat buah lorong belakang dan selebihnya akan menyusul tahun ini.

Sebahagian daripada agenda hijau negeri adalah menggalakkan lebih ramai orang awam untuk berbasikal ke tempat kerja berbanding memandu kereta. Sehingga ke hari ini, pihak majlis telah menyediakan laluan basikal sepanjang 39.9 km di sekitar kawasan pulau. Selain itu, pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) juga merupakan satu lagi agenda hijau negeri di mana kebanyakan bangunan di sekitar negeri telah pun mendapat pensijilan tersebut. Pulau Pinang berada di tangga ketiga tertinggi di Malaysia yang mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) dengan jumlah sebanyak 14.9 meter kaki persegi. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan pensijilan ini kepada bangunan-bangunan bersejarah di Pulau Pinang.

Pulau Pinang juga mengekalkan status sebagai satu-satunya negeri yang tidak menyentuh walaupun satu inci rizab hutan kekal di negeri ini. Usaha hijau yang lain termasuklah Dasar Tanpa Beg Plastik Percuma, peningkatan caj untuk beg plastik dan Dasar Tanpa Plastik Sekali Guna serta pengurangan sisa plastik adalah selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan lebih banyak produk mesra alam untuk menggantikan plastik sekali guna dibawah Pelan Tindakan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang 2018-2030. Negeri kita juga berjaya merekodkan kadar kita semula sebanyak 42.69% pada 2018 dan kita akan terus berusaha dan proses penambah baikan terutama sekali apabila ia melibatkan Dasar Pengasingan Sisa di Punca

Tahun ini, Penang Green Council (PGC), sebuah agensi kerajaan akan menganjurkan program tahunan Persidangan dan Pameran Hijau Antarabangsa 2019 (PGIGCE) bersama Malaysian Green Buiding Confederation (MGBC) Cawangan Utara. Selain memacu pertumbuhan ekonomi, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan kualiti hidup melalui perancangan bandar hijau dan pintar serta pelaksanaannya di Pulau Pinang. Tema PGIGCE tahun ini – Pulau Pinang Bandar Hijau dan Pintar – adalah satu usaha untuk mewujudkan bandar yang mampan dan makmur serta menjamin masa depan warga Pulau Pinang dengan mengintegrasikan sistem fizikal, digital dan manusia dalam setiap persekitaran yang dibina.

Kita berasa sangat teruja dengan kehadiran Ubtech sebagai salah satu penganjur utama yang juga menepati tema program tahun ini. Ubtech merupakan sebuah syarikat global AI terkemuka yang mereka, membangun, mengilang dan menjual robot serta aksesori dan teknologi berkaitan. Pengunjung berpeluang untuk bertemu dengan Cruzr, sejenis robot humanoid yang mempunyai sistem cloud-based intelligent. Cruzr berupaya untuk menyediakan aplikasi perkhidmatan untuk pelbagai sektor industri dan persekitaran domestik

Pelbagai aktiviti menarik akan disediakan untuk orang awam pelajari seperti penyelesaian isu alam sekitar yang hijau dan mampan sepanjang program berlangsung. Tambahan pula, kita akan menjemput golongan pakar dalam bidang bandar hijau dan pintar ke persidangan kali ini. Persidangan akan menjadi salah satu bahagian utama dalam program ini dimana mereka berpeluang untuk membuat perkongsian ilmu bersama warga Pulau Pinang.

Oleh itu, kami berbesar hati untuk menjemput anda menyertai program yang menyeronokkan, interaktif dan berinfomatif pada 27 hingga 29 September di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang pada 10 pagi hingga 10 malam. Kami juga ingin mengalu-alukan organisasi tempatan dan syarikat yang berminat untuk menyertai Persidangan dan Pameran Hijau Antarabangsa 2019 untuk membuat pameran. Pakej pameran kini telah dibuka untuk penyertaan. Nikmati potongan harga sebanyak 20% dan 10% Diskaun Pendaftaran Awal apabila anda mendaftar sebelum 30 April 2019 dan 30 Mei 2019 di www.pgigc.com.my
Untuk maklumat lanjut, sila “like” dan ikuti perkembangan kami di laman Facebook Penang International Green Conference and Exhibition 2019 atau hubungi 04-250 3322 untuk sebarang pertanyaan.

Terima kasih.

Chow Kon Yeow

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *